Rabu, 12 September 2012

Mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut dan mendahulukan kaki kiri ketika menanggalkannya.


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang dari kamu memakai kasut, maka mulakan dengan sebelah kanan, apabila hendak mencabutnya mulakan dengan sebelah kiri. Jadikan kaki kanan itu permulaan ketika memakai kasut dan yang akhir ketika menanggalkannya.” – (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam syarah Sahih Muslim 2/163: “Ini merupakan kaedah yang berterusan dalam syara`, setiap perkara yang termasuk di dalam bab menghormati dan memuliakan seperti memakai baju, seluar dan juga khuf, memasuki masjid, bersiwak, memakai celak, memotong kuku, memendekkan misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam dari solat, membasuh anggota ketika bersuci, keluar dari tandas, makan dan minum, bersalaman dan melakukan Istilam kepada Hajar al-Aswad, dan selainnya yang termasuk dalam maknanya (menghormati dan memuliakan), disunatkan memulakan dengan kanan. Adapun apa yang berlawanan denganya seperti memasuki tandas, keluar dari masjid, mengeluarkan lender (dari hidung), istinja’, membuka baju, seluar dan khuf, dan seumpamanya, disunatkan memulakan dengan kiri. Semua ini kerana disebabkan kemuliaan kanan dan Allahlah yang lebih mengetahui.”