Rabu, 12 September 2012

Membiarkan tubuh badan terkena air hujan ketika hujan turun


Daripada Thabit al-Banani, daripada Anas RA yang berkata:
“Kami pernah dituruni hujan ketika bersama dengan Rasulullah SAW, beliau (Anas) berkata: Maka Rasulullah SAW membuka sebahagian dari bajunya agar terkena air hujan. Lalu kami bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, kenapa Rasulullah berbuat demikian? Baginda menjawab: Kerana ia baru diciptakan oleh Allah taala.” – (HR Muslim)
Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya 3/464: “Pada hadith ini adanya petunjuk terhadap pandangan sahabat kami yang mengatakan sunat ketika hujan baru turun untuk membuka anggota yang bukan aurat supaya disentuh air hujan tersebut, dan mereka berdalilkan dengan hadith ini, padanya juga menunjukkan seseorang yang mafdhul (yang dilebihkan), jika melihat dari seseorang al-Fadhil (yang mememiliki kelebihan) sesuatu yang tidak diketahuinya, hendaklah dia bertanya tentang perkara tersebut, agar orang itu mengajarkan kepadanya, sehingga dia boleh mengamalkannya dan mengajarkan pula kepada orang lain.